PUTRAJAYA, 28 Mac — Pemuda Umno hari ini membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat pusat kaji selidik, Invoke Malaysia (Invoke), kerana didakwa menceroboh data peribadi kira-kira 15 juta rakyat Malaysia.
Aduan dibuat oleh pengerusi Biro Media Sosial Pemuda Umno Ibdilillah Ishak di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini secara berasingan.
Ibdilillah yang ditemui pemberita selepas membuat laporan di IPD Putrajaya berkata siasatan segera terhadap Invoke yang diasaskan naib presiden PKR Mohd Rafizi Ramli perlu dibuat kerana dibimbangi data yang digunakan pusat itu sebagai hasil dapatan diperoleh tanpa kebenaran pemilik data.
Beliau berkata walaupun laporan Invoke menyatakan mereka menggunakan kaedah membuat panggilan telefon kepada berjuta-juta responden dengan menggunakan perkhidmatan Interactive Voice Response (IVR), iaitu peti simpanan suara yang membolehkan panggilan dijawab segera dan menyimpan maklumat berkaitan bagi tujuan analisis tetapi ia tetap menimbulkan keraguan tentang cara Invoke memperoleh maklumat serta data peribadi rakyat Malaysia sebegitu banyak.
“Adalah Invoke memperoleh data peribadi rakyat Malaysia secara sah atau terlibat dalam pencurian data peribadi berjuta-juta rakyat Malaysia? Siapa sumber yang memberi data-data tersebut kepada mereka? Dan lebih utama, apakah pusat itu mendapat kebenaran JPDP untuk menyimpan dan menggunakan data tersebut,” katanya.
Beliau berkata Pemuda Umno tampil membuat laporan agar pihak berkuasa segera melakukan siasatan menyeluruh di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi merungkai dakwaan pencerobohan data peribadi oleh pusat itu.
Menurut laporan yang dikeluarkan Invoke bertajuk “GE14 Prediction — What the Big Data Tell Us”, ia antara lain mengandungi kajian mengenai jangkaan Pakatan Harapan akan menawan lima buah negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 selain PAS tidak akan memenangi sebarang kerusi negeri dan Parlimen termasuk di Kelantan. — Bernama

Comments