Dakwa orang kuat PM, ‘Datuk Seri’ ditahan polis

World

News / World 99 Views comments

Datuk Hasnan Hassan menunjukkan gambar suspek dan senjata yang dirampas dari suspek berusia 31 tahun itu. ― Foto ihsan PDRMIPOH, 2 April ― Dalang utama yang menyamar ‘Datuk Seri’ bersama tiga individu lain ditahan dalam serbuan di sebuah banglo mewah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, Jumaat lepas, kerana disyaki terlibat dalam penipuan penjualan darjah kebesaran serta menawarkan projek tidak wujud melibatkan kerugian RM1.6 juta.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata kesemua mereka berumur antara 24 dan 65 tahun, ditahan selepas polis menerima laporan dibuat seorang pengawal keselamatan yang mendakwa diugut dan dicederakan dengan pistol oleh suspek, dalam kejadian di sebuah kondominium di Tambun di sini, pada 11 Mac lepas.

“Pada 11 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Tambun yang mendakwa diugut dan dihentak dengan pistol sehingga cedera di dahi kiri oleh suspek yang mengaku sebagai orang kuat perdana menteri.

“Lelaki berkenaan dikatakan berang selepas pengawal terbabit enggan membenarkannya masuk ke kawasan kondominium terbabit kerana tidak mempunyai pas masuk,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi kumpulan itu adalah dengan menyamar sebagai Datuk Seri dan menggunakan nama orang kenamaan bagi menawarkan projek yang tidak wujud di Langkawi, Kedah dan urusan mendapatkan anugerah Pingat Seri Mahkota Wilayah daripada Yang di-Pertuan Agong secara pemalsuan.

Beliau berkata ‘Datuk Seri’ berumur 31 tahun itu dipercayai terbabit melakukan kes sedemikian dalam 11 kes penipuan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Hasnan berkata susulan laporan polis yang diterima itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) dan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bertindak menjalankan siasatan dan mengesan suspek.

“Polis berjaya mengesan suspek di banglo mewah di sini, dan menjalankan serbuan pada 11.45 pagi Jumaat lepas.

“Hasil serbuan polis berjaya menangkap kesemua suspek termasuk dalang utama bersama isterinya dan dua lagi suspek lelaki,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di kediaman terbabit, polis merampas dua pistol jenis semi auto dan revolver bersama kelopak peluru dan peluru hidup selain pelbagai dokumen dan barangan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan menipu.

Hasnan berkata antara barangan dirampas adalah 49 cop palsu melibatkan cop Yang di-Pertuan Agong, kerajaan Malaysia, kerajaan negeri dan cop syarikat.

Selain itu, pelbagai dokumen serta sijil anugerah darjah kebesaran palsu, baju istiadat berserta songkok dan selempang serta sebuah kereta jenis Audi Q7 dirampas, katanya.

“Semakan mendapati suspek utama mempunyai rekod lampau membabitkan akta senjata api dan penipuan.

“Kesemua direman sehingga 8 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan kes-kes lain melibatkan kumpulan ini serta mengenal pasti mangsa yang ditipu,” katanya.

Pihak polis percaya terdapat ramai lagi suspek terbabit dalam kes penipuan ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ditipu oleh suspek untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan, katanya. ― Bernama

Comments